Polisi Wajibkan 30 Peratus Wanita Jadi Calon Pilihan Raya Perlu Diwujudkan – Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengharapkan parti-parti politik terutama UMNO agar mewujudkan satu polisi yang mewajibkan kaum hawa menjadi calon dalam pilihan raya.

Menurutnya ini kerana pada ketika ini kepimpinan wanita dalam arena politik masih jauh ketinggalan berbanding golongan lelaki.

“Penyertaan wanita dalam kepimpinan politik masih jauh kebelakang seperti mana yang dimaklumkan oleh pembahas-pembahas tadi penglibatan wanita dalam politik ketika ini hanya 10.8 peratus sahaja berbanding lelaki.

“Saya ingin menggesa semua parti politik khususnya UMNO untuk mewujudkan satu undang-undang bagi melaksanakan polisi ini.

“Polisi yang mewajibkan kuota 30 peratus penyertaan wanita dalam pilihan raya,” katanya ketika menyampaikan ucapan sesi pengulungan Perhimpunan Agung Wanita UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, hari ini.

Tambah Noraini, UMNO sebagai parti yang sudah matang harus menjuarai agenda pemerkasaan ini dengan konsisten meletakkan calon-calon wanita.

“Perlu juga diletakkan di tempat yang boleh menang, jangan letak semua di kawasan yang hendak kalah.

“Pelaksanaan perlu jujur bukan sekadar hanya melepaskan batuk di tangga,” kata Menteri Pengajian Tinggi itu lagi.

Sementara itu, bagi penggulungan daripada wakil Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ir Hasni Mohammad beliau turut memahami hasrat daripada perwakilan berkenaan kuota 30 peratus penyertaan wanita dalam pilihan raya.

Katanya, ini kerana wanita mempunyai keupayaan menjadi pemimpin selain sikap bertanggungjawab.

“Saya bercakap begini bukan sebab saya dikeliling wanita kerana itulah yang saya lihat selama 20 tahun sebagai ketua bahagian.

“Yang paling penting setiap wakil wanita ini yang diberi peluang sentiasa sahaja mencari barakah dalam perkhidmatan mereka apabila diberi tugas dan tanggungjawab,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.