Tangguh Pelaksanaan Undi 18 Alasan Tidak Munasabah SPR – Khairy

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam berkenaan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik amatlah mengecewakan serta sama sekali tidak boleh diterima, kata Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Kata Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi itu, Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi Undi 18 dan pendaftaran automatik telah mendapat sokongan penuh kesemua Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Julai 2019.

“Menurut kenyataan SPR ini, pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik hanya dapat dibuat menjelang 1 September 2022, iaitu penangguhan melebihi satu tahun daripada sasaran yang ditetapkan sebelum ini iaitu pada Julai tahun ini.

“Kenyataan terbaharu SPR ini juga jelas sekali bercanggah dengan kenyataan Pengerusi SPR pada 7 Jun tahun lalu yang menyatakan persiapan bagi pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik termasuk pindaan kepada undang-undang serta peraturan pilihan raya sedia ada serta penyediaan sistem dan infrastruktur akan diselesaikan selewat-lewatnya pada Julai 2021.

“Harus diingatkan, kenyataan SPR pada tahun lalu ini hanyalah ulangan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mendiang Datuk V.K Liew pada Oktober 2019 yang telah menetapkan sasaran yang sama iaitu Julai 2021 sebagai permulaan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di blognya khairykj.com.

Tambahnya juga, alasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menjejaskan perancangan dan persiapan SPR juga adalah sesuatu yang tidak munasabah memandangkan PKP telahpun dilaksanakan semenjak lebih setahun yang lalu.

“Malah, jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) di Dewan Rakyat pada bulan November tahun lalu juga masih mengekalkan sasaran Julai 2021 bagi pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik ini.

“Tidak sampai lima bulan selepas jawapan di Dewan Rakyat ini dikeluarkan, SPR secara tidak semena-mena mengumumkan penangguhan pelaksanaannya kepada lebih satu tahun iaitu September 2022 berbanding Julai 2021,” tegasnya.

Begitu juga katanya kenyataan SPR berkenaan gerak kerja bagi tujuan libat urus bersama parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) juga menimbulkan tanda tanya.

“SPR seharusnya memberi penjelasan lanjut berkenaan program libat urus ini memandangkan proses ini bukan lagi perkara berbangkit kerana Undi 18 ini telahpun dipersetujui di peringkat tertinggi proses membuat undang-undang dalam negara ini iaitu Parlimen Malaysia.

“Proses libat urus juga sepatutnya boleh berlangsung sepanjang masa tanpa sedikitpun perlu menjejaskan tempoh masa yang telah diumumkan sebelum ini,” ujarnya lagi.

Jelasnya juga, penurunan umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun serta pendaftaran automatik bukanlah hasrat kerajaan terdahulu semata-mata malah ia telah mendapat persetujuan kesemua parti-parti politik termasuklah menerusi Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang telah membuat pindaan Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan 2/3 majoriti Dewan.

Dalam pada itu, Khairy juga berkata beliau bersama Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan membangkitkan perkara berkenaan dalam Jemaah Menteri untuk menggesa SPR melaksanakan undi 18 dengan segera. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.