PAU 2020 Platform Perkemaskan Formula, Menyatupadukan Orang Melayu

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Pelbagai pihak melihat Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang akan bermula Sabtu ini merupakan satu platform yang amat signifikan untuk parti merumus serta memperkemaskan segala formula ke arah parti melangkah ke depan dengan lebih utuh.

Bagi Ketua Penerangan UMNO Johor Bahru, Saifudin Yusuf walaupun berada di dalam persidangan secara norma baharu UMNO masih lagi bersemangat untuk menyatupadukan orang Melayu agar terus berjuang demi agama, bangsa dan tanah air.

“Kita mengharapkan agar UMNO terus utuh, kukuh dan kuatkan lagi jentera kita di dalam menghadapi pilihan raya,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, bagi Azdy Arshad yang merupakan ahli UMNO Bahagian Jelutong berpandangan ahli pelbagai peringkat perlu menjadikan perhimpunan pada kali ini untuk sama-sama melangkah dengan lebih bertenaga agar parti berjaya mengharungi cabaran.

“Ambillah semangat dalam persidangan agung UMNO sebagai titik tolak untuk terus memperkukuhkan parti, perkukuhkan perpaduan bangsa Melayu dan bersama-sama kita memastikan bahawa UMNO akan terus kembali berkuasa sebagai sebuah parti Melayu yang menjadi tunjang dan juga menjadi harapan orang Melayu, Islam dan juga untuk negara kita sendiri,” tambahnya.

Sementara itu, bagi Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tapah, Syed Afrizal Syed Salim, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mungkin akan menjadi lebih mencabar daripada PRU-14 yang lepas kerana keadaan semasa politik hari ini.

“Dari segi semangatnya saya percaya setiap ahli UMNO yang ada dan masih kekal akan berusaha memastikan parti ini terus kekal relevan demi survival orang Melayu.

“Saya percaya ahli UMNO dan pengundi-pengundi akan yakin dengan parti ini dan akan memandang tinggi martabat UMNO… atas pelbagai faktor khususnya apa yang berlaku sepanjang 22 bulan dengan keadaan 100 janji yang tidak ditunaikan oleh Pakatan Harapan (PH) dan akhirnya wujudnya kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya berharap apabila kerajaan PN hari ini pun mesti menjalankan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat sebagaimana kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum PRU 14,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.