PAU 2020: Pengerusi Tetap UMNO Titipkan Nasihat Dan Pesanan Untuk Ahli Parti

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badrudin Amiruldin menitipkan pesanan kepada seluruh perwakilan serta mereka yang akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang akan bermula esok agar mematuhi segala garis panduan yang telah ditetapkan oleh urus setia perhimpunan.

Menurut beliau segala garis panduan yang diberikan dan dilaksanakan itu adalah berdasarkan kepada SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuklah Kementerian Kesihatan dan pelbagai agensi kerajaan yang lain.

“Perhimpunan pada kali ini diadakan dengan penuh norma baharu dan kita patuh kepada SOP yang telah ditetapkan oleh pihak MKN. Persidangan kita mengikut apa yang ditetapkan dan perwakilan serta mereka yang berada pada PAU kali ini perlu mengikut apa yang telah digariskan oleh pihak urus setia.

“Insya-Allah kita berdoa agar perhimpunan ini berjalan dengan lancar dan kepada ahli-ahli UMNO di seluruh negara disiplinkan diri kita untuk hidup dalam dunia baharu dan insya-Allah kita sama-sama berdoa agar perhimpunan kali ini secara bersemuka dan secara maya di seluruh negara berjalan lancar.  Ini juga satu pengalaman baru bagi diri saya. Semoga persidangan kita diberkati dan dirahmati Allah swt,” katanya kepada UMNO-Online.

UMNO akan mengadakan perhimpunan agungnya esok bermula dengan perasmian Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO. Seterusnya akan berlangsung persidangan ketiga-tiga sayap dan Ahad akan berlangsung Perhimpunan Agung UMNO 2020.

Badrudin pada masa yang sama turut menitipkan pesanan yang amat berharga kepada ahli parti dengan mengharapkan agar kata-kata keramat ‘Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat’ terus terpahat di dalam hati masing-masing.

“Kita sebagai ahli parti berpeganglah kepada apa yang dipesan oleh mereka yang menubuhkan UMNO dahulu iaitu kata-kata keramat ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’. Jadi kalau kita pegang kepada kata-kata keramat ini insya-Allah UMNO akan terus kekal dihormati dan disayangi oleh rakyat seluruhnya.

“Kepada ahli-ahli UMNO kita jangan lupa kata-kata keramat ini. Tiga perkataan ini harus kita sematkan dalam lubuk hati kita sebagai ahli UMNO supaya parti terus menjadi pelindung kepada seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan berbilang bangsa dan berbilang agama bahawa UMNO ini boleh terus menjadi payung kepada seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.