PAU 2020 Nafas Baharu Perjuangkan Masa Depan Agama, Bangsa Dan Negara

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Wanita UMNO Bahagian Shah Alam berharap Perhimpunan Agung 2020 ini memberikan nafas baharu buat parti bagi memperjuangkan masa depan agama, bangsa dan negara.

Ketuanya, Jumaeah Masdi berkata perhimpunan ini adalah sebagai satu ketetapan pengukuhan parti lebih-lebih lagi bagi memantapkan akar umbi sebagai penentu masa depan parti.

“Bagi Wanita UMNO Bahagian Shah Alam, kami menunggu-nunggu untuk persidangan kali ini yang dirasakan amat penting.

“Wanita akan menyokong parti demi kesepaduan, ukhuwah dan mengeratkan lagi parti kita agar dapat mendepani apa sahaja isu-isu atau pun permasalahan masa kini.

“Masa depan parti kita ini penting kerana ia yang akan membela nasib dan masa depan rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sementara itu, beliau turut berkongsi pendekatan berbeza yang dilakukan bagi menaikkan semangat Wanita sempena penganjuran perhimpunan agung norma baharu ini.

“Kami telah diminta untuk setiap bahagian membuat rakaman untuk nyanyian lagu Wanita UMNO.

“Jadi secara maya di setiap bahagian pun kena nyanyikan bersama, yang ini dirakamkan lebih awal dan ianya sedikit sebanyak boleh menaikkan semangat wanita,” ujarnya.

Sementara itu, bagi Ketua Wanita UMNO Kota Raja, Suhaila M Zin beliau mengharapkan perhimpunan agung kali ini sebagai persediaan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Kami di Kota Raja sudah bersiap sedialah untuk persiapan perhimpunan agung ini, harapan saya semoga kali ini dapat menfokuskan persediaan yang menjurus ke arah PRU15 ini.

“Semoga ianya memberi sinar yang terbaik untuk UMNO, parti keramat yang banyak berjasa kepada negara ini,” ulasnya.

Tambah Suhaila, beliau turut berharap bahawa penganjuran ini diadakan meriah seperti kebiasaan namun perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Kami di bahagian sudah bersiap siaga harap kemeriahan itu terus seperti tahun-tahun yang sebelumnya Walapun secara maya pada tahun ini,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.