Menjelang PAU 2020, Pendaftaran Perwakilan Patuhi SOP

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Sehari menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 membuka tirai, perwakilan UMNO termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO mula melakukan pendaftaran hari ini.

Bermula pukul 10.00 pagi pekarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) mula didatangi perwakilan UMNO dari 190 bahagian seluruh negara.

Terdahulu, mereka yang tiba di sini diwajibkan mengimbas menggunakan aplikasi MySejahtera untuk tujuan daftar pergerakan dan semakan kendiri status risiko dan kesihatan di samping sanitasi tangan selain diminta pastikan prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup separuh muka dipraktikkan setiap masa.

Menerusi persidangan kali ini, para perwakilan dibekalkan dengan ‘thumb drive’ mengandungi Penyata Tahunan UMNO 2019/2020 dan kertas persidangan selain makluman acara dan susunan persidangan, Buku Perlembagaan UMNO serta panduan tempat duduk para perwakilan.

PAU 2020 dijadualkan berlangsung pada 27 dan 28 Mac (Sabtu dan Ahad) dengan pelaksanaannya secara kombinasi perhimpunan iaitu bersemuka dan maya yang menggunakan sistem Webex dan dizoomkan ke seluruh UMNO Bahagian di seluruh negara.

Pada Sabtu, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan akan menyempurnakan majlis perasmian serentak Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bertempat di Dewan Merdeka.

Seterusnya, ketiga-tiga sayap UMNO akan melaksanakn persidangannya secara berasingan dengan Wanita di Dewan Tun Dr Ismail, Pemuda di Dewan Tun Hussein Onn sementara Puteri di Dewan Merdeka.

Pada Ahad, PAU 2020 dilakukan di Dewan Merdeka dan tutut dipancarkan secara maya kepada semua bahagian-bahagian. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.