COVID-19 Di Sekolah: Pencerahan Diperlukan Tapi ‘Perutusan Khas’ Masih Tiada, Tegas Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Belum ada sidang khas oleh pihak berwajib bagi memperjelaskan tentang perkembangan yang agak membimbangkan kepada umum berhubung penularan COVID-19 di beberapa sekolah, tegas Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam keadaan inilah kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, ‘perutusan khas’ amat diperlukan oleh ibu bapa, murid dan guru bagi mendapatkan pencerahan mengenai tahap keselamatan semua di sekolah susulan kes yang terjadi.

“Mereka perlu tahu adakah SOP (prosedur operasi standard) sedia ada di sekolah masih mencukupi untuk mencegah jangkitan COVID-19 atau memerlukan penambahbaikan? Mereka mahu tahu sama ada jangkitan COVID-19 yang berlaku di dua sekolah itu dari dalam atau luar sekolah?

“Mereka khuatir perkara sama boleh berlaku di sekolah anak mereka. Paling menggusarkan tentang keselamatan Murid Berkeperluan Khas (MBK). Mereka sedia maklum kanak-kanak dikategorikan sebagai berisiko. Sebab itu pasar malam pun tidak dibenarkan masuk,” kata Ahmad Zahid di dalam satu entri di Facebooknya pagi ini.

Ahmad Zahid berkata demikian merujuk kepada laporan terdapat kes jangkitan COVID-19 membabitkan guru dan murid setelah beberapa hari sekolah kembali dibuka.

“Perkembangan yang agak merungsingkan ramai pihak terutama dalam kalangan ibu bapa. Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Cempaka, Tampoi di Johor dilapor ditutup sehingga 25 Mac (Khamis) ini. Ia selepas tiga murid, seorang guru dan seorang kakitangan sekolah itu dikatakan sah positif COVID-19.

“SK Bukit Jenun di Kedah pula ditutup bermula Jumaat lalu sehingga satu tarikh yang belum ditetapkan. Ia selepas seorang guru di sekolah itu disahkan positif COVID-19,” ujarnya.

Seterusnya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu meluahkan kebimbangan andai insiden di dua sekolah itu dianggap terpencil dan tidak signifikan untuk diambil berat oleh pihak yang berkenaan.

“Walaupun cuma terjadi di dua sekolah setakat ini, hal keselamatan dan kesihatan tiada kompromi. Jangan sesekali ‘take for granted’.

“Tiada istilah isu terpencil dalam soal keselamatan. Setiap nyawa adalah berharga. Konsep ‘the greater good’ tidak terpakai dalam perkara ini.

“Menjaga nyawa maqasid syariah. Maka pihak berwajib wajib menjamin sepenuhnya keselamatan murid-murid kita walau dalam apa cara,” gesanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.