Aura Tersendiri UMNO, Kekal Menjadi Tumpuan Rakyat – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 26 Mac – UMNO mempunyai kekuatan yang tersendiri sehinggakan seringkali menjadi tumpuan rakyat meskipun tidak lagi menjadi parti utama dalam kerajaan, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Jelasnya, begitu juga dengan situasi UMNO suatu ketika dahulu sewaktu menjadi pembangkang sehinggakan parti ini masih mendapat tumpuan sama, yang menunjukkan secara jelas bahawa UMNO masih relevan dalam arena politik negara.

“UMNO kalah tidak lagi menjadi kerajaan pada 2018 dan selama 22 bulan sebagai pembangkang.

“Namun saya pun sebenarnya amat sukacita sebenarnya kerana minat orang ramai terhadap parti kita, tambah pula dengan Perhimpunan Agung UMNO ini, nampaknya bukan berkurangan perhatian itu tetapi bertambah hebat lagi.

“Jadi Alhamdulillah maknanya UMNO ini masih relevan lagi la. Kita kuat lagi atau pun kita masih diperlukan lagi dalam politik tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi panel dalam program Solidariti 75 Tahun Umno ‘Jadikan Umno Parti Induk Politik Tanah Air’ di Facebook UMNO Online, malam tadi.

Tambah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan itu namun tumpuan tersebut bergantung kepada hak individu yang mahu mencerminkan sama ke arah kebaikan atau sebaliknya.

“Cuma sama ada orang melihat kita sebagai yang positif atau negatif itu terpulang kepada kita untuk kita menghala tujukan perjalanan parti kita.

“Tetapi yang penting orang masih mengikuti perkembangan UMNO orang nak tahu apa hal tuju UMNO. Itu sebenarnya perkara yang amat positif bagi saya,” ujar beliau. – UMNO Online 

 

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.