UMNO Matang Hadapi Rintangan, Harus ‘Tackle’ Generasi Muda Demi Masa Hadapan – Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata UMNO yang akan mencapai usianya ke 75 tahun semakin matang dalam menghadapi segala rintangan namun dalam masa yang sama perlu ‘tackle’ generasi baharu untuk masa hadapan.

Ujarnya, UMNO menghadapi pelbagai cabaran dan jatuh bangun yang semuanya telah dilalui, maka perlulah selari dengan kehendak generasi muda hari ini yang inginkan parti  terus kukuh dan bukannya semakin terkebelakang serta musnah.

“UMNO telah melalui tujuh dekad mengharungi badai dan kepelbagaian suasana kepimpinan. Itulah parti UMNO yang masih utuh, kekal dan menjadi sebuah parti besar dalam negara. Ia masih mendapat tempat di hati rakyat…itu yang paling penting.

“Pewaris-pewaris yang ada ini hendak melihat bahawa kita dapat mengembangkan parti dan memperkukuhkan menjadi dominan kepada kerajaan pada masa akan datang. Pada saya sewajarnya ialah kita kena ada kebijaksanaan.

“Kena ada sedikit sebanyak perasaan yang harus disimpan bahawa kami tidak mahu perpecahan. Kami bukannya hendak pergi dan akhirnya musnahkan parti ini. Kena ada ‘solidariti’. Kalau dah punah tiada gunanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program segmen ‘Solidariti 75 UMNO: Perkukuhkan Saf dan Kesatuan’ yang dikelolakan oleh Datuk Dr Noor Azizan Abdul Majid menerusi Facebook UMNO Online, malam tadi.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap juga memaklumkan ingin melihat masa depan UMNO dapat diisi kumpulan generasi muda.

Soalnya, bagaimana UMNO hendak menghadapi kumpulan orang muda dan generasi baru?

“Generasi baru ini di dalamnya ada industri 4.0, teknologi yang terkini, pemikiran baru yang tidak ada sebelum ini dan tindakan-tindakan pun baru. IT, gaya hidup, cara hidup dan paling penting pemikiran.

“Bagaimana kepimpinan pada waktu itu untuk memerahkan keringat dan pemikiran untuk ‘tackle’ generasi ini. Macam mana hendak pergi? Macam mana hendak buat pada generasi ini? Ia tidak boleh ‘straight forward’.

“Macam mana kepimpinan parti pada waktu itu lima, enam tahun akan datang dapat menyesuaikan golongan ini. Maknanya … pada zaman itu harus ada ‘big data, profiling’… saya fikir lagi ‘complicated’,” ujarnya lagi.

Tambah Mahdzir lagi, UMNO mampu menjadi induk ataupun dominan kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Saya berkeyakinan bahawa generasi demi generasi yang ada dalam masyarakat ini sebenarnya mahu kepada kekuatan UMNO.

“Mereka mahu melihat UMNO kembali menjadi kuat, kerajaan dan memerintah. Jadi… kita kena buatlah sedikit pembetulan dan apa yang telah berlaku pada 2018,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.