Selamat Menyambut Hari Polis Ke- 214, Terima Kasih Jaga Keamanan Negara – Ahmad Zahid


KUALA LUMPUR, 25 Mac – Tanggal 25 Mac 2021 genap 214 tahun usia Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sehubungan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan penghargaan kepada PDRM kerana menjaga keamanan negara.

Katanya, pelbagai cabaran telah diharungi pasukan itu dalam menjamin kesejahteraan negara.

“Jika dulu menentang ancaman komunis, kini jenayah siber dan rentas sempadan. Polis menjaga keselamatan masyarakat satu perkhidmatan yang mulia dan diberkati Allah SWT.

“Terima kasih para pegawai dan anggota PDRM menjaga keamanan negara.

Semoga warga PDRM terus kental dan bersemangat memberi khidmat mereka. Selamat Menyambut Hari Polis Ke- 214 pada tahun ini. Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada,” katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menerusi kenyataan dalam laman facebooknya, hari ini.

Dilaporkan, sambutan Hari Polis adalah sebagai tanda memperingati jasa dan pengorbanan 130,000 warga PDRM kepada rakyat dan negara.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, kecuali tahun lalu, Hari Polis yang ke-214 pada 25 Mac disambut serentak di seluruh negara dengan mengekalkan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

Tiada sambutan bagi Hari Polis tahun lalu berikutan pandemik COVID-19 yang menyebabkan negara menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 yang membataskan pergerakan dan majlis-majlis sosial baik rasmi atau tidak rasmi sementara tahun ini ia dilaksanakan dalam keadaan norma baharu dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.