Raptai PAU 2020 Secara Maya Seluruh Negara Berjalan Lancar

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Hari ini telah berlangsungnya raptai Perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 dan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang turut melibatkan 190 UMNO Bahagian-bahagian secara maya seluruh negara.

Raptai perasmian tersebut dilakukan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (PWTC) serta dipancarkan secara maya kepada kesemua bahagian menggunakan applikasi atas talian Webex untuk kelancaran perhimpunan agung ini.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu parti ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ disusuli Wanita UMNO, ‘Maju Wanita’ dan lagu sayap-sayap UMNO dan diakhiri Barisan Nasional (BN).

Kesemua perwakilan memberikan kerjasama yang baik sepanjang raptai tersebut berlangsung.

Raptai diketuai Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan yang turut melibatkan kakitangan Ibu Pejabat UMNO selaku urus setia.

Turut hadir adalah Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, Pengerusi Tetap UMNO Tan Sri Badruddin dan Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Datuk Seri Rizuan Abd Hamid bagi mendapatkan gambaran penuh perhimpunan agung yang bakal berlangsung hujung minggu ini.

Ahmad turut berkesempatan memberikan pesanan kepada perwakilan untuk menjaga Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang perhimpunan agung secara maya itu berlangsung.

Perhimpunan Agung UMNO 2020 mencatat sejarah tersendiri kerana pertama kalinya akan diadakan secara kombinasi bersemuka dan maya di Dewan Merdeka, PWTC dan secara maya di 190 UMNO Bahagian-bahagian.

Pematuhan SOP juga dilakukan seperti yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti mematuhi penjarakan fizikal, mewajibkan pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu, mengimbas MySejahtera dan sanitasi tangan. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.