PAU 2020 Platform Terbaik Depani Cabaran, Jauhi ‘Politik Sate’ Rugikan Parti

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berpandangan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini bukan sahaja satu pengalaman baru kepada seluruh ahli parti malah satu perkara yang cukup penting untuk masa depan parti yang merangkumi pendokong dan penyokong serta seluruh pimpinan pelbagai peringkat.

Menurut beliau ianya merupakan perhimpunan bersejarah untuk melihat serta memperkemaskan formula terbaik bagi parti melangkah dengan lebih perkasa ke depan dan tentunya norma baharu yang diaplikasikan pada perhimpunan kali ini bukanlah satu halangan untuk sama-sama membangkitkan semangat yang tinggi dan jitu di kalangan pejuang-pejuang parti.

“Malah ianya juga merupakan satu platform terbaik dalam merungkai segala formula dan keluh kesah akar umbi untuk mendepani cabaran dan gelombang yang tentunya akan berada pada masa hadapan.

“Paling penting dan paksi kepada perjuangan hari ini adalah perpaduan Melayu. Ianya sekali lagi ditekankan kuncinya agar parti Melayu keramat ini terus bersemangat waja, kekal utuh dalam muafakat yang dibina secara berhemah sejak sekian lama.

“Jauhilah dan elakkan fitnah, iri hati, hasad dengki dan cemburu buta sesama sendiri apatah lagi masing-masing menimbulkan syak dan wasangka antara satu dengan yang lain kerana ianya bukan sahaja akan memudaratkan perpaduan sesama sendiri malah boleh menjadi barah dan nanah kepada institusi parti UMNO yang kita sayangi ini,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Norshida yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat seterusnya berharap politik ‘sate’ tidak meracuni perjuangan dalam parti dan masing-masing perlu elakkan politik ‘sate’ seumpama ini.

Tegas beliau, ini kerana kipas-mengipas dan politik menikam sesama sendiri tidak akan ke mana malah parti serta akar umbi yang sayangkan parti akan menjadi kepada mangsa keadaan tersebut.

“Percayalah… membina perpaduan dan meletakkan permuafakatan sesama sendiri sesungguhnya satu perkara yang bukan mudah namun apabila salah percaturan dan istiqamah perjuangan ianya boleh menghancur masa depan parti. Kepada Wanita UMNO seluruh negara, inilah masa dan inilah platform untuk sama-sama menggengam erat tali persaudaraan ukhwah dan tali permuafakatan. Di depan kita banyak cabaran yang bakal mendatang.

“Sekali lagi saya ingin memberi penekanan jauhilah syak wasangka, jauhilah budaya adu domba, iri hati, hasad dengki, cemburu buta antara satu sama lain kerana umumnya terdapat pihak-pihak lain di luar sana yang inigin melihat kita berpecah dan kapal yang sedang berlayar terhenti dan karam di tengah lautan.

“Marilah kita sama-sama mendayung kapal yang sedang belayar ini sampai menuju ke destinasi kejayaan yang gemilang. Janganlah kita mudah terperangkap dengan mainan-mainan politik ‘politik sate’ kerana natijahnya tidak akan ke mana.  Insya-Allah… saya juga akan turut menghadirinya di PWTC Sabtu dan Ahad ini. Doa saya agar parti ini terus bersatu, kekal utuh dalam muafakat yang dibina secara berhemah dan terus cemerlang di mata rakyat Malaysia. Selamat bersidang buat semua,” katanya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.