PAU 2020: Kukuhkan Saf… Kestabilan Kunci Kebangkitan UMNO – Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Perhimpunan Agung UMNO 2020 merupakan medan yang cukup kritikal untuk akar umbi berbicara secara telus dan ikhlas khususnya tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan kelangsungan dan masa depan parti, kata Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Katanya, ini adalah wadah untuk merapatkan saf, mengukuhkan kesatuan serta usaha menentukan hala tuju yang jelas demi masa depan parti.

“Perhimpunan kali ini mestilah berupaya menyerlahkan kestabilan UMNO di setiap peringkat yang berlandaskan semangat kebersamaan, kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada parti serta ketaatan kepada pucuk pimpinan parti terutama institusi Presiden.

“Kestabilan ini penting sekiranya kita mahu UMNO diyakini sebagai institusi terbaik untuk memimpin negara serta dilihat sebagai parti yang ikhlas dalam mempertahankan agenda kesatuan Melayu-Islam,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ulas Menteri Luar Negeri itu, kestabilan ini amat penting kerana ianya sebagai penentu jatuh bangun UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

“Agenda kesatuan Melayu Islam yang diperjuangkan UMNO di samping kesungguhan membela kaum-kaum lain bukan sahaja akan menjamin kestabilan masa depan UMNO

“Malah wajib dipertahankan demi melakar masa depan Malaysia yang lebih gemilang,” ujar beliau.

Beliau turut berharap perbahasan kelak dilakukan dengan penuh hikmah dan bijaksana serta meletakkan sepenuh kepercayaan kepada kebijaksanaan Majlis Kerja Tertinggi dan pucuk pimpinan untuk melakukan yang terbaik untuk parti.

“Marilah kita sama-sama berganding usaha dan memanjatkan doa kepada yang Esa, agar perhimpunan pada hujung minggu ini dapat membawa seluruh kebaikan kepada parti,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib