PAU 2020: Kenal Pasti Dasar Terbaik, Bawa Kebaikan Kepada Parti Dan Rakyat – Norliza

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim mengharapkan Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang bakal diadakan hujung minggu ini dapat dijadikan platform terbaik untuk mengenal pasti dasar dan pendirian parti.

Katanya, perhimpunan terbesar bagi orang Melayu ini merupakan simbolik kepada hala tuju UMNO bagi memberikan semangat perjuangan baharu kepada ahli parti demi kepentingan rakyat.

“UMNO adalah sebuah parti yang tidak pernah lari daripada prinsip perjuangan. UMNO merupakan pembela agama, bangsa dan tanah air,” kata Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia itu menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang berkata walaupun ketika ini negara berdepan dengan wabak COVID-19 namun ianya bukan pematah semangat untuk penganjuran perhimpunan norma baharu ini.

Norliza malah mengharapkan kerjasama yang baik dapat diberikan oleh perwakilan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Meskipun perhimpunan kali ini sedikit berbeza kerana ianya dijalankan dalam suasana norma baharu. Kita perlu mengikut SOP yang telah ditetapkan bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.

“Tetapi walau apapun keadaan, marilah kita bersidang dengan penuh berhemah. Binalah perbincangan yang konkrit dan yang paling penting perhimpunan ini juga perlu dijadikan sebagai titik pertemuan untuk kita semua,” katanya.

Perhimpunan Agung UMNO yang akan diadakan pada 27 Mac dan 28 Mac ini bakal mencatat sejarah tersendiri kerana pertama kalinya akan diadakan secara kombinasi bersemuka dan maya di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra dan secara maya di 190 UMNO Bahagian-bahagian.

Pematuhan SOP juga dilakukan seperti yang telah ditetapkan oleh MKN seperti mematuhi penjarakan fizikal, mewajibkan pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu, mengimbas MySejahtera dan sanitasi tangan. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.