PAU 2020: Raptai Dalam Dewan Merdeka Lancar, Kekal Patuhi SOP

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Raptai penuh bagi perasmian Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 dan perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia berjalan lancar di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC).

Bermula jam 11.00 pagi tadi di bawah pemantauan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan, raptai terbabit melibatkan kakitangan Ibu Pejabat UMNO selaku urus setia.

Dimulakan dengan nyanyian lagu parti ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ disusuli Wanita UMNO, ‘Maju Wanita’ dan lagu sayap-sayap UMNO dan diakhiri Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin turut menyertai raptai tersebut bagi mendapatkan gambaran penuh perhimpunan agung yang bakal berlangsung hujung minggu ini.

Raptai tersebut turut dipantau oleh Polis di-Raja Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan penganjurannya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang wabak COVID-19.

Turut hadir semasa raptai tersebut adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Perhimpunan Agung UMNO yang akan diadakan pada 27 Mac dan 28 Mac ini bakal mencatat sejarah tersendiri kerana pertama kalinya akan diadakan secara kombinasi bersemuka dan maya di Dewan Merdeka, PWTC dan secara maya di 190 UMNO Bahagian-bahagian.

Pematuhan SOP juga dilakukan seperti yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti mematuhi penjarakan fizikal, mewajibkan pemakaian pelitup muka, pemeriksaan suhu, mengimbas MySejahtera dan sanitasi tangan. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.