PAU 2020: Pengukuhan Berdepan Dinamika Politik, Hala Tuju Untuk PRU15 – Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Wanita UMNO Malaysia berpandangan Perhimpunan Agung kali ini sangat penting diadakan sebagai penentu hala tuju parti.

Ketuanya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, ini kerana parti perlu bersiap sedia dalam mendepani dinamika politik apatah lagi untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Kami sedar bahawa perhimpunan kali ini satu keperluan kerana para perwakilan akan berbahas untuk membincangkan hala tuju parti ini sendiri.

“Saya merasakan bahawa semangat sebagai ahli UMNO itu tetap ada dan Insya-Allah penekanan terhadap pentingnya Wanita UMNO bersedia di dalam PRU15 nanti.

“Kerana ini kemungkinan Perhimpunan Agung UMNO yang terakhir sekali sebelum PRU15,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau turut meluahkan kesyukuran kerana Perhimpunan Agung 2020 ini bakal berlangsung seperti dirancang walaupun ditunda beberapa kali.

“Alhamdulillah setelah dua kali tertangguh perhimpunan agung ini, kita akan bersama-sama mengikutinya tidak lama lagi.

“Insya-Allah kita akan dapat membawa suara-suara akar umbi melalui perhimpunan ini,” ujarnya.

Tambah Menteri Pengajian Tinggi itu, walaupun ketika ini negara berhadapan dengan suasana baharu ekoran penularan wabak COVID-19 namun ianya bukan penghalang bagi penganjuran perhimpunan agung ini.

“Pandemik COVID-19 ini suatu yang kita tidak dapat elakkan, namun Insya-Allah perhimpunan ini kita akan dilaksanakan dengan norma baharu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Jadinya kita sedar bahawa kali ini walaupun berdepan dengan suasana baharu namun perjuangan untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara itu sendiri tetap diteruskan.

“Parti ini adalah parti yang selama ini membawa suara rakyat terutamanya orang Melayu, Islam serta Bumiputera Sabah dan Sarawak,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.