Jasa dan Perjuangan, Hanya UMNO Yang Mampu Bela Nasib Bangsa – Ramlan

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Jasa dan perjuangan UMNO kepada negara terlalu besar iaitu semenjak sebelum kemerdekaan sehinggalah lebih 60 tahun parti ini menjadi tonggak dalam kerajaan.

Demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Ramlan Askolani yang menganggap bahawa hanya UMNO sahaja yang dapat membela nasib orang Melayu.

“UMNOlah menjadi hero kerana memperjuangkan Islam, meningkatkan ekonomi bangsa dan membela mereka malah hal ini telah dibuktikan kerana tidak ada parti lain yang dapat melakukannya. Hanya parti UMNO yang memperjuangkan nasib orang Melayu.

“Apabila UMNO kalah pada PRU lalu, kita merasa sedih, terpingga-pingga… apa hendak buat tapi akhirnya kita sedar bahawa apa yang berlaku ini ada hikmahnya dan saya kuatkan azam serta semangat, walau macam mana susah sekali pun… insya-Allah ada jalan,” katanya pada program ‘Segmen Solidariti 75 UMNO: Pastikan Parti Untung…’ yang disiarkan menerusi Facebook UMNO-Online, di sini, Selasa malam.

Ramlan yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Wilayah Persekutuan mengimbaskan kembali bagaimana tohmahan dan tuduhan dilemparkan kepada UMNO.

“Sebelum PRU 13 dan 14, isu nasional dijadikan fitnah teramat kuat diperkatakan. Misalnya di Lembah Pantai, walaupun 61.5 peratus Melayu yang terdapat di Lembah Pantai tetapi kerana isu nasional ini ramai yang mengatakan pemimpin UMNO jahat, korupsi dan makan rasuah.

“Pada ketika itu pemimpin UMNO yang baik pun dianggap sebagai jahat. Sesiapa yang bertanding memang susah untuk menang sehinggakan pengundi termakan hasutan dan jasa Tan Sri Sharizat Abdul Jalil serta Datuk Seri Raja Nong Chik diketepikan sedangkan perjuangan UMNO memang terlalu banyak budinya di Lembah Pantai.

“Apabila rakyat sudah melalui selama 22 bulan. Ada yang merasa menyesal. Wakil rakyat yang ada sekarang pun ‘service’ mereka bukan keutamaan mereka. Pada mereka ada jawatan dan duduk dalam Parlimen untuk gunakan Lembah Pantai sebagai platform ‘batu loncatan’ mereka,” katanya.

Dalam pada itu Ramlan teruja dengan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan dilaksanakan pada 27 dan 28 Mac ini dalam suasana norma baharu.

“PAU kali ini amat berbeza dengan PAU sebelum ini dimana kita menghadapi perhimpunan ini dengan secara maya. 75 tahun kita menerajui di bawah UMNO. Kepada akar umbi di peringkat bawah ini teruskan bersama UMNO dan doakan supaya UMNO hidup sampai bila-bila… insya-Allah.

“UMNO masih disayangi. UMNO saja yang dapat membela bangsa orang Melayu,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.