UMNO Tak Boleh Digadai, Jati Diri Jadi Azimat Penguat Semangat – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta ahli-ahli UMNO, pejuang dan penyokong UMNO jangan terlalu bimbang berikutan terdapat dakwaan ada pihak menggunakan ‘broker’ bagi menghancur dan menjatuhkan parti itu.

Katanya, mereka ini tidak ramai, tetapi apa yang mereka mahu lakukan ke atas UMNO sangat tidak boleh diterima.

“Seperti saudara saudari saya juga tahu dan sedar apa yang sedang ‘broker’ rancangkan. Muslihat serta tipu daya mereka, segala hipokrasi dan helah dalam pemantauan dan radar.

“UMNO tidak boleh digadai. UMNO bukan alat untuk tawar menawar jawatan atau kedudukan sesiapa.

“UMNO sama sekali tidak akan melukut di tepi gantang hanya kerana hujah-hujah bermuka dua. UMNO parti milik rakyat dan jutaan ahlinya. Bukan milik mana-mana pihak untuk dijual beli. Insya-Allah selagi ada keringat dan bakti saya berjanji UMNO tetap dipertahankan,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu terbabit, hari ini.

Ujarnya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), beliau berkata begini kerana membaca pandangan dan keluh kesah orang ramai.

“Segelintir saudara saudari khuatir saya sebagai Presiden UMNO tidak ‘alert’ rancangan mereka.

“Saya ‘alert’. Saya malah ‘alert’ semakin galak persepsi negatif diilustrasikan ke atas saya. Tetapi demi keutuhan parti keramat bangsa dan agama saya mendepani cabaran ini secara berhemah.”

Tegasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, keazaman, keyakinan dan jati diri UMNO menjadi azimat penguat semangat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.