Solidariti 75 Tahun UMNO: Pejuang Sebenar Tidak Berpaling Tadah – Zawawi Othman

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Kesetiaan kepada parti merupakan elemen penting untuk membentuk sikap pejuang yang sebenar, kata Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman.

Jelas beliau, seorang individu yang ikhlas dalam perjuangan tidak mudah untuk berpaling tadah dan berubah pendirian.

“Siapa yang menjadi pejuang, siapa yang menjadi petualang. Di dalam UMNO sendiri siapa yang menjadi orang pejuang,” katanya.

Tambah Zawawi, rakyat boleh menilai sendiri pemimpin yang ikhlas membantu mereka atau semata untuk kepentingan peribadi.

“Ahli UMNO serta rakyat yang menyokong UMNO akan melihat siapa yang bermaruah.

“Kadang-kadang orang itu miskin, tapi dia bermaruah lebih daripada orang kaya.

“Maka bermaruahlah kita berprinsiplah kita jangan jadi sebahagian watak ‘Si Kitol dan Raja Mendeliar’,” ujar Zawawi.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada program ‘Solidariti 75 Tahun UMNO, Utamakan Perjuangan Parti’ di Facebook UMNO Online, malam tadi.

Katanya lagi, parti merupakan platform yang penting untuk mana-mana pihak membina nama dalam politik.

Tegas Zawawi, namun sekiranya nilai kesetiaan itu bukan elemen penting dalam prinsip perjuangan maka sikap mengkhianat akan datang untuk mencari keselesaan lain demi kepentingan diri.

“Hebatnya kita ini kerana UMNO bukan hebatnya UMNO kerana kita.

“Pemimpin datang dan pergi tapi perjuangan kepada UMNO perlu kekal,” jelasnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.