Contohi Baddrol Bakhtiar, Pemain Yang Sangat Setia Kepada Pasukannya – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 23 Mac – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi berkata pemain bola sepak Kedah Baddrol Bakhtiar adalah contoh seorang individu yang sangat setia, jiwa dan raganya tetap bersama pasukan negeri tersebut.

Ujar Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, sepanjang karier Baddrol tidak pernah berhijrah bersama pasukan lain biarpun rakan seangkatan melakukannya dengan tawaran puluhan ribu hingga ratusan ribu ringgit sebulan.

“Bayangkan betapa besar pengorbanan itu. Beliau statik hanya untuk satu pasukan. Inilah yang dikatakan ketawa bersama menangis bersama ku bersumpah harap kita mati pun bersama. Seperti dalam lagu Teman Pengganti nyanyian Black dan Malique.

“Dalam dunia ini, tidak mudah untuk mencari orang seperti ini. Senang sama-sama susah pun sama-sama,” katanya dalam satu entri di Facebook malam ini.

Ulas Ahmad Zahid, beliau mengaku kurang berminat tentang bola sepak kerana lebih cenderung kepada motosikal tetapi semalam beliau ada terbaca mengenai profil pemain bola sepak kebangsaan itu dan rasa sangat tertarik dengannya.

“Baddrol, pemain bola sepak Kedah. Rekod memperlihatkan beliau menjaringkan banyak gol bersama pasukan kebangsaan dan negeri dengan memenangi banyak trofi.

“Ibunya berasal dari Kampung Lanjut Manis, Tanjung Ipoh, Kuala Pilah, Negeri Sembilan manakala bapanya dari Kampung Gemetir, Terachi juga di daerah yang sama. Baddrol dilahirkan di Sarawak memandangkan bapanya yang juga anggota ATM (Angkatan Tentera Malaysia) bertugas di negeri terbabit.

“Namun, Baddrol dibesarkan dan bersekolah di Sungai Petani, Kedah iaitu negeri terakhir tempat bapanya bertugas,” katanya lagi.

Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, beliau turut membaca sejarah karier bola sepak Baddrol.

“Beliau mula mewakili pasukan Piala Presiden Kedah sebelum diserapkan ke skuad negeri pada 2006. Pada edisi 2006/2007 dan 2007/2008 Baddrol mengecap nikmat kejayaan apabila pasukannya memenangi Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

“Ia double treble. Enam piala utama bagi dua tahun berturut-turut. Namun pada 2012 Kedah tersungkur ke Liga Perdana namun kesetiaan Baddrol tetap bersama Kedah.

“Beliau tidak pernah menyatakan hasrat untuk berpindah ke pasukan lain. Dan kesetiaan itu bertahan hingga kini. Apabila saya membaca sejarahnya, saya amat menghormati Baddrol,” katanya.

Justeru jelas Ahmad Zahid lagi, inilah yang dikatakan jatuh bangun bersama.

“Bagi saya Baddrol Bakhtiar adalah akar umbi yang sangat baik. 16 tahun kesetiaannya,” pujinya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.