Tradisi UMNO Bantu Rakyat, Kita Perlu Tingkatkan Usaha – Azian

IPOH, 22 Mac – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Perak, Datuk Azian Osman berkata UMNO sentiasa membantu rakyat tanpa mengira latar belakang parti politik.

Katanya, tradisi ahli parti yang sentiasa turun padang bagi membantu dan membela rakyat bukan saja semasa UMNO menjadi kerajaan malah ketika menjadi pembangkang tetap membantu rakyat.

“Saya yakin ahli-ahli parti sentiasa turun padang membantu rakyat tidak kira sama ada semasa menjadi pembangkang mahupun kerajaan, tetapi kita harus mempertingkatkan lagi,” katanya.

Beliau juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO  mengharapkan agar jentera parti dapat mendekati golongan muda untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

“Santunilah pengundi-pengundi muda. Jumlah pengundi muda terlalu ramai apatah lagi kemungkinan pilihan raya akan dilakukan pada bulan Julai dan secara tidak langsung pengundi muda sudah boleh mengundi.

“Kajian sikap yang dilakukan oleh Wanita UMNO haruslah selalu dijalankan bukan saja Wanita UMNO tetapi semua jentera harus terlibat,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian pada Program Bangkit 15 Negeri Perak yang turut dihadiri oleh Pengerusi Biro Latihan dan Perkaderan UMNO Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dan Pengarah Pilihan Raya Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, di Hotel Casuarina Meru, Ipoh, Ahad.

Turut hadir Setiausaha BPUN, Datuk Aminuddin Hanafiah, Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin, Ketua Pemuda Negeri, Mohd Arrif Abdul Majid, Naib Ketua Puteri Sarah Syazwani Saari dan Ketua-ketua UMNO seluruh negeri Perak.

Dalam pada itu Azian juga menyeru ahli-ahli parti agar dapat menjaga hubungan dengan parti komponen.

“Jaga hubungan dengan BN (Barisan Nasional) kerana dalam BN terdapat MCA dan MIC. Kita memerlukan undi mereka untuk memenangi pilihan raya.

“Apa-apa pun yang kita lakukan akan kembali kepada asas perjuangan iaitu Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.