MN Selangor Teruskan Permuafakatan, Elakkan Perbalahan Tuju Kemenangan

SHAH ALAM, 22 Mac – Muafakat Nasional (MN) Negeri Selangor menegaskan komitmen untuk menjayakan Piagam Muafakat Nasional yang ditandatangani kedua pimpinan tertinggi parti UMNO dan PAS pada 14 September 2019 yang lalu.

Menurut Pengerusi Bersamanya Pengerusi UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar dan Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, sejak itu kedua parti telah bergerak memperkukuhkan hubungan dan kerjasama di pelbagai peringkat sehingga ke akar umbi di kesemua 22 kawasan Parlimen negeri ini.

Tambahnya, juga menyeru rakyat khususnya umat Melayu Islam di negeri ini untuk bersama mendukung dan menyokong proses penyatuan ummah yang diusahakan oleh MN.

“MN Selangor sedar bahawa kejayaan penyatuan ummah ini nanti pasti menggugat kedudukan musuh politik PAS dan UMNO khasnya Pakatan Harapan (PH) yang sangat berharap agar muafakat PAS dan UMNO ini dapat dipecahkan. Lantas pelbagai usaha dilancarkan untuk menggagalkan usaha murni ini.

“MN Selangor tidak akan berputus asa memastikan penyatuan umat Melayu Islam di negeri ini dapat dijayakan dan akhirnya MN dapat merampas kembali negeri Selangor dari tangan PH yang didominasi Dap,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Jelas kenyataan itu lagi, MN Selangor menyeru seluruh jentera PAS dan UMNO negeri agar terus berkerjasama dengan lebih mantap dan sentiasa meletakkan firman Allah SWT yang berikut sebagai pedoman dan sempadan:

“Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar” (Al Anfaal 46). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.