Apapun Aliran Dalam UMNO, Mesti Berpandu Keputusan Parti – Shahril

KERUGIAN buat UMNO andai kita terus menerus berbalah disebabkan pihak ketiga.

Andai kita “dua aliran” kerana takrifan ideologi, hala tuju perjuangan, pengisian tawaran dasar negara dan sebagainya-sekurang-kurangnya ia perbezaan yang membina.

Tetapi kalau kita berpecah dek kerana soal pertalian dengan orang luar keluarga, seakan sia-sia.

Meskipun begitu, perlu ditegaskan, kalau pun ada kelainan pandangan dalam sesebuah isu, tentunya tindakan kita mesti dipandu keputusan parti.

Setakat hari ini, jelas bahawa sama ada melalui Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 mahupun Majlis Kerja Tertinggi (MKT) (yakni dua badan pembentuk dasar UMNO), parti telah memutuskan:

1. Tiada kerjasama Pilihan Raya Umum (PRU) dengan PPBM, PKR, DAP.

2. Kerjasama dengan PAS dipelihara dan diperkasa.

3. Kerajaan Perikatan Nasional didukung sehingga pembubaran Parlimen.

Individu dalam parti tentunya ada pandangan masing-masing. Tidak semua yang berpendirian berbeza dari sesuatu keputusan parti semestinya terus dilabel pengkhianat atau ejen parti lain.

Ia tuduhan berat yang tak wajar dilontar tanpa usul periksa tindakan dan tingkah lakunya, apatah lagi sesama kita dalam keluarga.

Cuma, apabila keputusan induk parti telah dibuat, tugas kita adalah untuk menjayakan keputusan itu, bukannya merosakkan.

Sewaktu awal kita mahu bersama PAS pun, tidak semua yang senada. Tetapi di kalangan yang tak setuju – baik dari UMNO mahupun barangkali PAS juga – mampu menelan ego, akur, malah membantu menjayakannya.

Dalam hal mutakhir, saya menyebut tempoh hari, selagi tidak berubah keputusan MKT berkenaan tiadanya kerjasama dengan PPBM selepas pembubaran Parlimen, maka kita berpegang kepada pendekatan itu sebagai ketetapan dasar UMNO.

Lantas terpulang kepada orang UMNO untuk menjayakan atau menggagalkan strategi tersebut.

Jika kita meletakkan fokus mengukuhkan daya tarikan UMNO/Barisan Nasional (BN), memperkasa jentera dan penyokong, moga makin berjayalah keputusan itu.

Jika kita tak henti menimbulkan spekulasi dan syak wasangka sesama kita, mempersoal motif masing-masing, maka akan gagallah keputusan itu.

“Berbalah”lah kita dalam mesyuarat mengenai “new deal” UMNO kepada rakyat. Mengenai model ekonomi dan pendidikan yang terbaik untuk bangsa dan negara.

“Berbalah”lah kita dalam mesyuarat mengenai bagaimana mampu menampilkan lebih ramai calon muda, wanita dan segar.

“Berbalah”lah kita dalam mesyuarat perihal persiapan jentera.

“Berbalah”lah kita soal kaedah terbaik memenangi persepsi rakyat bahawa kita lebih baik dari PH atau PN.

Tetapi berbalah terbuka sesama sendiri, menyerang keputusan parti di media dalam bab yang tiada kena mengena dengan memenangi hati pengundi – Ia membazir peluru, tenaga, masa dan minda yang sepatutnya ditujukan ke perkara lain.

Sama-sama kita doakan Perhimpunan Agung minggu hadapan mampu menjernihkan senario dalam UMNO supaya kita benar-benar mampu beralih ke fasa melengkap persiapan menghadapi ujian sebenar dalam PRU.

SHAHRIL HAMDAN
ketua Penerangan UMNO