MN Perlu Diperkukuh, Sandaran Rakyat Menjelang PRU15 – Noh Omar

KUALA LUMPUR, 21 Mac – Muafakat Nasional (MN) perlu diperkukuhkan lagi bagi memastikan gabungan ini menjadi sandaran rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Tan Sri Noh Omar.

Menurut Noh, Selangor menjadi saksi kerjasama tidak rasmi yang dilakukan UMNO dan PAS sewaktu Pilihan raya Kecil (PRK) yang dilakukan di negeri berkenaan.

“Ditakdirkan Allah bahawa kerjasama dengan PAS ini bermula di Selangor sebab itu kita kena ingat semangat MN ini bermula di sini,” katanya.

Tambah Ahli Parlimen Tanjong Karang itu, PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dan DUN Seri Setia menjadi saksi permulaan sikap toleransi yang ditunjukkan oleh kedua-dua parti ini kerana pada ketika itu sentimen terhadap kerajaan yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) masih kuat.

“Apabila berlaku PRK Sungai Kandis, tolak ansur yang dilakukan PAS yang tidak meletakkan calon bagi memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) itu langkah pertama.

“Kemudian di PRK Seri Setia, kita bangun bersama PAS untuk memberikan sokongan kepada calon mereka, tapi masa itu masih lagi kita kalah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri perasmian Program Bangkit 15 Negeri Selangor, yang turut dihadiri oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan Jumaat malam.

Jelas Noh lagi, PRK DUN Semenyih pula menjadi detik yang tidak dapat dilupakan apabila kemenangan pertama BN Selangor apatah lagi berjaya merampas kembali kerusi DUN berkenaan daripada PH.

“Berlawan pula dengan Bersatu yang waktu itu adalah kerajaan di PH, di negeri Selangor pun PH, nak lawan kerajaan ini bukan mudah.

“Tetapi oleh kerana semangat MN tengah membuak-buak dengan kemenangan luar biasa di PRK (Parlimen) Cameron Highlands maka kita menang cemerlang di Semenyih,” katanya.

Mengulas lanjut jelas Noh lagi, kerjasama yang terjalin di antara PAS dan UMNO ini  bermula di peringkat akar umbi.

“Tapi kena ingat MN ditubuhkan bukan daripada atas sehingga ke bawah, kalau macam Perikatan Nasional (PN) lain sebab dari atas ke bawah.

“Tapi MN lain, dari bawah kita bincang di peringkat Majlis Kerja Tertinggi. Kita juga bahaskan di Perhimpunan Agung UMNO hendak kawan atau tidak dengan PAS sebab ini soal akar umbi.

“Maka kita pun setuju, terciptalah sejarah September 2019 menandatangani piagam permuafakatan maka terbentuklah MN,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.