UMNO Rakam Takziah, Ketua Wanita UMNO Bahagian Rasah Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama seluruh kepimpinan dan ahli UMNO merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Ketua Wanita UMNO Bahagian Rasah Hajah Hapsah Hamid, 75 yang telah kembali ke rahmatullah sebelum subuh tadi di rumah anaknya di Kampung Jiboi Baru, Seremban.

Dilaporkan, jenazah dibawa ke rumahnya di Taman Bukit Kepayang, Seremban dan seterusnya akan dimandikan dan disembahyangkan di Surau Taman Bukit Kepayang.

Allahyarhamah yang mempunyai lima orang anak dua lelaki dan tiga perempuan dijangka akan dikebumikan di Makam Tuan Haji Said, Seremban selepas solat Zuhur.

Untuk rekod, pada 11 Mac baru-baru ini, Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menziarahi Hajah Hapsah yang telah diserang ‘stroke’ setelah membuat pembedahan membuang ketumbuhan di kepala buat kali ketiga di Hospital KPJ Damansara, di sini.

Semoga roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. – UMNO ONLINE

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.