Peniaga Pasar ‘Lejen’ Perlu Dibantu Segera
KUALA LUMPUR, 19 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa simpati mendengar berita kebakaran memusnahkan 40 deretan kedai di Pasar Dato Keramat, di sini, Khamis petang.
Katanya, pasar berusia 50 tahun menjadi tempat ramai peniaga mencari rezeki menjual pelbagai barangan keperluan kepada orang ramai.
“Semoga ada pembelaan segera untuk mereka semua. Mungkin lebih sukar bagi mereka mengharungi episod seterusnya dalam keadaan pandemik COVID-19.
“Bertambah payah jika perniagaan yang diusahakan di pasar ‘lejen’ itu adalah satu-satunya sumber pendapatan.
“Saya berharap pihak berwajib dapat menyegerakan penempatan baharu untuk peniaga terlibat beroperasi buat sementara,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, sementara itu dapatlah sekiranya diberikan bantuan sewajarnya memandangkan mereka kini dianggap hilang sumber pencarian.
Dilaporkan, majoriti peniaga di kawasan Pasar Datuk Keramat adalah dalam kalangan bumiputera yang menjual barang basah, makanan, pakaian dan perkakas rumah. – UMNO Online