Kalimah Allah: Jangan Semarakkan Pertembungan Sentiviti Beragama, Ikut Acuan Malaysia


KUALA LUMPUR, 19 Mac – Masyarakat di negara ini dikhuatiri menuju ke arah pertembungan konflik memandangkan timbulnya perkara-perkara sensitiviti terutama melibatkan agama, ujar Aktivis Masyarakat, Norman Toha.

Katanya, sejak kemerdekaan, rakyat di negara ini hidup dalam keadaan harmoni namun kini ada segelintir pihak yang dilihat cuba meracuni pemikiran masyarakat terutama apabila melibatkan polemik penggunaan isu kalimah Allah oleh penganut agama lain.

“Kita ambil contoh, sekiranya kita ini sebagai rakyat Amerika Syarikat sudah pasti kita akan duduk di negara tersebut dangan acuan undang-undang pembentukan negara tersebut.

“Begitu juga perkara yang sama bila kita berada di Malaysia, sudah pasti sebagai warganegara di negara, kita kena hidup dalam keadaan peraturan dan dalam undang-undang ketetapan yang sudah dibina.

“Namun saya khuatir kalau persimpangan pertembungan ini berlaku tidak dikawal kemudian diambil kesempatan oleh pihak lain dengan cuba untuk mencabar undang-undang di negara ini,” katanya.Beliau berkata demikian pada program ‘Isu Kalimah Allah… Hikmah Yang Tersembunyi’ yang turut dihadiri oleh Peguam, Datuk Adnan Seman dan Pakar Motivasi, Long Kechik di Facebook UMNO Online, malam tadi.

Norman berkata dalam suasana negara yang dihuni oleh masyarakat berbilang kaum ini seharusnya sikap toleransi antara satu sama lain perlu ada merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi di negara ini.

“Sebab itu saya memberikan nasihat kepada teman-teman sama ada yang beragama Islam, mahupun Buddha, Hindu dan Kristian.

“Kita kena akur dengan perkara yang kita asaskan bersama sejak kemerdekaan, 64 tahun yang lalu,” tegasnya.

Pandangan sama turut diberikan oleh Adnan yang berpendapat isu-isu sensitif terutama yang melibatkan isu kalimah Allah perlu dielakkan untuk kesejahteraan negara.

Katanya, situasi ini jika dibiarkan nescaya akan menggugat keharmonian negara yang sudah dibina sejak sekian lama.

Isu berkenaan perdebatan kalimah Allah ini kita mengharapkan daripada pihak Kristian juga kena memberikan penjelasan kepada penganut-penganut agama Kristian bahawa tidak perlu untuk mereka berebut untuk menggunakan kalimah Allah yang digunakan oleh umat Islam.

“Kerana ianya boleh mengancam keselamatan mengugat keharmonian dan akan menimbulkan banyak polemik

“Teliti balik kerana pada akhirnya cubaan untuk menyebarkan pendakwahan agama lain kepada orang islam ini tidak berlaku kerana Perlembaagaan kita menghalang perkara itu,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.