Banyak Sektor Dibuka… Rakyat Bertanya Kenapa Parlimen Tak Boleh? – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata semakin ramai rakyat bersuara mempersoal tindakan kerajaan yang telah membenarkan sektor-sektor tertentu dibuka seperti pendidikan dan ekonomi termasuk Bazar Ramadan, namun sebaliknya yang terjadi kepada persidangan Parlimen.

Katanya, kerajaan seharusnya memainkan peranan yang lebih rasional kerana ramai pihak sudah mula menyuarakan pandangan mereka berkenaan situasi ini.

“Suara rakyat agar Parlimen dibuka semakin kuat didengar, kini terletak di tangan Kabinet untuk memberi nasihat yang tepat kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Jika Bazar Ramadan akan dibuka, sekolah sudah, ekonomi juga, tentulah tidak salah bertanya kenapa Parlimen belum dibuka,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Tambah Ahli Parlimen Pontian itu lagi, beliau antara individu yang lantang mempersoal tindakan kerajaan yang bertindak menyekat daripada diadakan persidangan Parlimen ini.

“Saya ahli Parlimen yang sejak Januari 2021 meminta agar Parlimen dibuka. Saya antara ahli Parlimen yang paling kerap berbahas, bertanya dan beri cadangan-cadangan kepada kerajaan.

“Ada 100 ahli Parlimen umur lebih 60 tahun. Namun ada 120 umur kurang 60 tahun. Korum sidang untku Dewan Rakyat hanya 26 ahli Parlimen, eloklah ianya dibuka,” tegasnya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan kerajaan memutuskan bahawa masih tiada lagi keperluan untuk sidang Parlimen diadakan ketika tempoh darurat.

Menurutnya, keputusan tersebut setelah mengambil kira beberapa faktor merangkumi aspek perundangan dan kesihatan.

Sementara itu, pada 16 Mac Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Bazar Ramadan, Bazar Aidilfitri, dibenarkan beroperasi di seluruh negara bagi menyambut ketibaan Ramadan pada tahun ini.

Beliau turut memaklumkan solat terawih juga dibenarkan mengikut Standard Operasi Prosedur (SOP) ketat. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.