Zahid Puji Langkah Pemuda UMNO Bantu Golongan Teraniaya, Dikompaun

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memuji langkah yang dilakukan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang menawarkan bantuan khidmat guaman kepada individu yang dikenakan kompaun.

Katanya, bantuan khidmat guaman percuma tersebut amat membantu terutama kepada golongan yang berdepan pelbagai kesukaran bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Kompaun RM10,000 yang dikenakan ke atas rakyat jika mereka secara tidak sengaja melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 sememangnya amat menekan. Dalam situasi ekonomi yang menyukarkan, ternyata kompaun ini meresahkan rakyat lalu mereka beranggapan tindakan itu adalah tidak munasabah.

“Sekalung penghargaan saya ucapkan kepada Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang menawarkan khidmat guaman percuma

“Saya diberitahu Pergerakan Wanita UMNO juga menawarkan khidmat guaman. Syabas dan teruskan usaha ini bagi meringankan beban rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) turut mengajak pihak yang dikenakan kompaun untuk segera mendapatkan bantuan guaman tersebut.

“Bagi sesiapa yang tidak berpuas hati jika dikenakan kompaun, boleh menghubungi Pemuda UMNO untuk mendapatkan bantuan,” ujarnya.

Baru-baru ini, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan Pemuda UMNO menyokong usaha kerajaan memperketatkan SOP untuk membendung penularan COVID-19, namun jumlah kompaun yang dikenakan terlalu tinggi.

“Sehubungan dengan itu, Pemuda UMNO menawarkan khidmat nasihat guaman secara percuma kepada orang ramai yang dikompaun dan merasakan diri mereka dianiayai akibat tindakan penguatkuasaan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atas kesalahan-kesalahan kecil seperti tidak memakai pelitup muka dan sebagainya.

“Tawaran ini meliputi nasihat guaman dan representasi peguam kepada Kementerian Kesihatan Malaysia bagi membuat rayuan pengurangan kompaun bagi kesalahan-kesalahan melibatkan PKP,” ujarnya dalam satu kenyataan. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.