Kerajaan Tiada ‘Semak Dan Imbang’… Bila Sidang Parlimen? – Dr Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dengan sinis memaklumkan bahawa pada zaman kerajaan Perikatan Nasional(PN), soalan kena tanya berulang kali.

Jelasnya, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan berita gembira iaitu bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri boleh beroperasi di seluruh negara dan juga solat terawih dibenarkan.

“Kalau begitu relevan lagikah darurat? Kalau semua sudah boleh, kerajaan sepatutnya beri tarikh kepada Yang Dipertua (YDP) Agong bila Parlimen boleh bersidang.

“Alasan ramai ahli Parlimen sudah tua paling tidak logik. Sudah tentu ramai warga emas akan pergi bazar ramadan, bazar Aidilfitri dan solat tarawih… alasan jangan melucukan.

“Ini soalan untuk PM (Perdana Menteri)… angka yang menurun sekarang ini adakah kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) atau kerana darurat? Hadapilah realiti dengan berani,” katanya dalam satu catatan di Facebook, hari ini.

Tambah Dr Puad lagi, sidang parlimen penting supaya eksekutif tidak melakukan kemungkaran tersembunyi kerana ketiadaan ‘semak dan imbang’.

“Ini alasan yang kerap kita dengar kenapa ‘darurat’ diisytihar dan ‘Parlimen digantung’ iaitu untuk memerangi COVID-19, mengurangkan politiking, ramai ahli Parlimen sudah tua serta faktor sains dan data,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.