Penjualan Air Minuman Kanak-kanak Diragui Status Halal, Tindakan Segera Perlu Diambil

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap pihak berwajib menyiasat dakwaan berhubung penjualan air minuman botol kanak-kanak dari Korea yang diragui status halalnya.

Tegasnya, jika benar sebagaimana yang didakwa, tindakan segera perlu diambil.

“Saya juga menyeru pemilik premis supaya sentiasa peka dengan setiap produk yang mereka jual.

“Setiap produk makanan atau minuman yang tiada pengesahan halal diasingkan daripada produk halal.

“Dapatkan terlebih dahulu pengesahan pengedar atau pengeluar berkaitan kandungan dan proses penghasilan sesebuah produk makanan atau minuman,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dalam satu entri di Facebooknya.

Ahmad Zahid berkata demikian mengulas mengenai portal berita melaporkan air minuman botol kanak-kanak dari Korea yang diragui status halalnya dipasarkan di kedai serbaneka dalam negara.

“Dakwaan itu tular di media sosial apabila orang ramai mempersoalkan sama ada penghasilan air minuman berkenaan halal atau sebaliknya.

“Lebih membimbangkan botol minuman itu dikatakan menggunakan karakter beruang dan kartun yang menarik minat kanak-kanak,” tambahnya.

Jelasnya lagi, setakat ini isu terbabit sudah mendapat reaksi Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM). – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.