Kekalahan PRU-14 Jadi Bukti Perjuangan Akar Umbi Tak Menilai Jawatan – Shahrir Samad

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Ahli parti menjadi kekuatan ketika UMNO berdepan cabaran getir selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, kata Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Ujarnya, pada ketika itu nilai prinsip yang menjadi pegangan untuk ahli parti kekal setia berjuang demi parti keramat ini.

“Semenjak kekalahan pada PRU-14, akar umbi UMNO membuktikan kelangsungan parti bukan terletak kepada jawatan ataupun kontrak kerajaan.

“Namun, tidak lumpuh pun perasaan kasih sayang akar umbi parti terhadap perjuangan UMNO.

“Ianya semata-mata kerana falsafah dan ideologi yang didokong olih parti. Benar-benar terbukti UMNO itu satu perjuangan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Bekas ahli Parlimen Johor Bahru itu turut menambah di sebalik kekalahan yang berlaku terselit hikmah yang memberikan nafas baharu buat UMNO.

Tambah beliau, keadaan ini menjadikan UMNO lebih kukuh dan bersatu untuk memastikan parti ini terus dominan dalam usaha memastikan kebajikan rakyat terbela.

“Perjuangan UMNO tetap segar dan subur di dalam keadaan kita tewas pada PRU 14.

“Keadaan ini akan dapat diterjemahkan sebagai satu konsep ‘parti menguasai kerajaan’ sebagai perubahan penting UMNO menjelang PRU15,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.