Bukan Kali Pertama Anwar Bersandiwara, UMNO Kekal Pendirian Tiada Kerjasama – Asyraf Wajdi


KUALA LUMPUR, 17 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa UMNO masih kekal dengan pendirian tiada sebarang kerjasama politik dengan mana-mana parti politik PH sama ada PKR, Dap ataupun PAN.

Dalam hal ini beliau bersetuju dengan kenyataan terdahulu Ketua Penerangan UMNO Malaysia iaitu terserah kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim nak canang mahupun nak gempak kononnya ada rundingan dengan UMNO.

“UMNO sebuah parti yang bersistem dan berperaturan. Sebarang keputusan dasar termasuk melibatkan perundingan kerjasama politik hanya sah dan terpakai jika mana-mana pihak menerima Mandat untuk berunding daripada Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan rundingan Kerjasama dipersetujui oleh Majlis Kerja Tertinggi dan disahkan di peringkat Perhimpunan Agong UMNO (sebagaimana Peruntukan Perlembagaan Parti),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan
berhubung dakwaan Anwar Ibrahim kononnya terdapat perbincangan antara UMNO dan PKR yang menunjukkan perkembangan positif.

Jelasnya, sehingga hari ini, sebagai anggota Tertinggi Parti sama ada di peringkat Pengurusan, Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi, beliau tidak pernah sama sekali sebarang mandat diberikan kepada sesiapa untuk berunding dengan PKR mahupun Dap, jauh sekali memutuskan untuk bekerjasama dengan Anwar ataupun Dap.

“Justeru sama ada Anwar berbohong ataupun beliau sendiri tertipu dengan tanggapannya sebagai rundingan kerjasama, yang sebenarnya hanyalah sekadar perbualan kosong yang tiada sebarang makna, kesan ataupun natijah.

“Lagipun ini bukan kali pertama Anwar bersandiwara,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.