Tak Salah Bertegas Tapi Kadar Denda RM10,000 Bebankan Rakyat, Wanita UMNO Sedia Khidmat Guaman

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Wanita UMNO menganggap tidak salah untuk kerajaan bertegas bagi memastikan rakyat mematuhi SOP untuk membendung penularan COVID-19, namun kadar denda yang tinggi sudah pasti akan membebankan rakyat yang ketika ini berdepan kesukaran.

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, sejak kerajaan melaksanakan denda RM10 ribu yang melibatkan kes-kes perlanggaran SOP COVID-19 di bawah Ordinan Darurat Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Pindaan) 2021, ramai rakyat yang mula bersuara dan melahirkan rasa ketidakpuasan hati.

“Sebenarnya, kadar denda tersebut boleh dirayu. Menyedari ramai yang masih tidak memahami saluran membuat rayuan, Wanita UMNO tampil menghulurkan bantuan dengan menyediakan khidmat guaman percuma kepada individu yang berdepan kompaun ini disebabkan kesalahan-kesalahan kecil,” katanya dalam kenyatan media berkaitan isu tersebut.

Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Wanita UMNO melalui Sekretariat Perundangan & Advokasi menyediakan khidmat guaman untuk menjadi orang tengah bagi berunding supaya kadar kompaun dapat diturunkan ke tahap yang munasabah berdasarkan kepada kesalahan yang dilakukan.

“Oleh itu, mereka yang memerlukan bantuan ini boleh terus saja ke pejabat Wanita UMNO Malaysia di tingkat 37 Manara Dato Onn.”

Dalam pada itu, katanya, Wanita UMNO tetap berharap agar rakyat Malaysia sentiasa mematuhi norma-norma baru kehidupan dengan mematuhi segala prosedur dan SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.