Tak Perlu Menari Ikut Rentak Orang Lain, UMNO Tumpu Pengukuhan Dalaman Parti – Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR, 16 Mac – “Kita tidak perlu menari mengikut rentak orang lain sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada pengukuhan dalaman parti sendiri, disamping berusaha keras memenangi keyakinan rakyat.”

Demikian tegas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berhubung dakwaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya terdapat perbincangan antara UMNO dan PKR yang menunjukkan perkembangan positif.

Jelas Shahril yang juga Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, keputusan dasar PAU 2019 masih terpakai dan kenyataan semua pemimpin tertinggi UMNO berkali-kali menyebut tidak timbul kerjasama dengan PKR dan Dap.

“Menolak kerjasama dengan PPBM tak bermaksud mesti terus bersama dengan orang lain.

“Hakikatnya, MKT belum pernah mengubah keputusan dasar PAU 2019 yang menolak kerjasama dengan PKR dan Dap,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu terbabit, hari ini.

Ujarnya, jika Anwar masih mahu mencanang kononnya ada rundingan dan kerjasama rasmi politik dengan UMNO, itu adalah hak beliau untuk bercakap sepertimana selama ini beliau tak henti-henti mengatakan bahawa beliau ada majoriti di Parlimen.

“Matlamat parti tentunya untuk memenangi sokongan rakyat dengan tawaran dan visi yang lebih baik dari pesaing kita.

“Tanpa sokongan rakyat, UMNO tidak akan mampu beroleh kedudukan dominan sepertimana diharapkan seluruh pejuang parti yang berpegang teguh kepada sejarah dan potensi UMNO untuk terus mendepani perjuangan agama, bangsa dan tanahair,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.