Rayuan Kes Kalimah Allah: MN Selangor Alu-alukan Langkah Kerajaan, Keharmonian Perlu Kekal

SHAH ALAM, 16 Mac – Muafakat Nasional (MN) Negeri Selangor mengalu-alukan langkah pihak kerajaan yang pantas mengemukakan rayuan dalam kes membabitkan penggunaan kalimah Allah di kalangan masyarakat yang bukan Islam sebagaimana diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac lalu.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Pengerusi Bersama MN Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata rayuan ini selaras dengan kehendak majoriti masyarakat Islam dalam negara yang cukup resah dan bimbang dengan keputusan Mahkamah Tinggi itu yang dilihat menggugat sensitiviti umat Islam dan boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat.

“Muafakat Nasional Selangor berpendirian bahawa keharmonian antara rakyat berbagai bangsa dan agama perlu dikekalkan tanpa memberi sedikit pun ruang yang boleh menjejas dan memporak-perandakan kestabilan yang ada.

“Islam sebagai agama rasmi Persekutuan perlulah sentiasa dihormati oleh semua pihak dan segala amalan agama suci ini tidak digugat termasuk hak menggunakan kalimah Allah yang selama ini tidak pernah diganggu mana-mana pihak,” kata kenyataan itu lagi.

MN Selangor juga berharap semoga rayuan ini berjaya dipertimbangkan dan mendapat keputusan yang paling saksama agar rakyat Malaysia dapat kekal hidup aman damai tanpa mencabar sebarang status quo dan amalan yang ada. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.