Pemuda UMNO Bakal Digerakkan Bantu Program MyVAC

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyokong penuh inisiatif kerajaan melancarkan Program ‘Malaysia Vaccine Support Volunteer’ (MyVac) yang bakal dikelolakan oleh Kementerian Belia dan Sukan.

Ujar Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, sukarelawan MyVac merupakan satu inisiatif kerajaan untuk menggembleng sukarelawan membantu ‘frontliners’ dalam mengelolakan pemberian vaksin kepada seluruh rakyat Malaysia yang akan dipusatkan di Pusat Pengurusan Vaksin (VAC).

“Jangkaan sebanyak 8,000 dos sehari di setiap lokasi sudah tentu menagih komitmen ramai sukarelawan untuk membantu kerajaan bagi memastikan perlaksanaan vaksinasi kepada rakyat berjalan lancar dan berkesan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Sehubungan dengan itu tambah Dr Asyraf, Pemuda UMNO menawarkan untuk membantu kerajaan bagi menggerakkan ahli-ahli Pemuda UMNO di 191 bahagian dan 13,695 cawangan Pemuda UMNO seluruh Malaysia bagi mengambil bahagian menjadi sukarelawan dalam program MyVac ini.

Katanya, dalam masa terdekat, Pemuda UMNO Malaysia akan bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bagi menyelaraskan gerak kerja sukarelawan Pemuda UMNO bersama agensi-agensi kerajaan lain yang terlibat dalam pemberian vaksin ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.