Sukarelawan Puteri UMNO Akan Bantu Bakal Penerima Vaksin COVID-19 Melalui MyVac

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia akan bersama-sama dalam Program Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVAC) yang di terajui oleh Kementerian Belia dan Sukan dalam usaha memastikan seluruh rakyat menerima dos vaksin COVID-19 mereka dalam tempoh yang ditetapkan.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, satu gerak kerja sukarelawan daripada Puteri UMNO akan diselaras bersama agensi-agensi lain yang terlibat.

“Kami terus bantu rakyat, kami terus bantu Frontliners yang berjuang tanpa lelah melawan musuh tidak kelihatan ini.

“Jom, Puteri! Jom kita bantu putuskan rantaian COVID-19,” katanya melalui kenyataan dalam hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Jelasnya, Puteri UMNO menerima banyak permintaan daripada bakal penerima vaksin agar di bantu dari segi urusan pendaftaran dan sebagainya.

“MyVAC merupakan inisiatif pendekatan menyeluruh Kerajaan dan masyarakat atau ‘Whole-of-Society Approaches’, yang melibatkan pelbagai Kementerian dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mampu dilaksanakan dengan berkesan. Ia selaras dengan usaha membendung serta menamatkan pandemik COVID-19 di Malaysia.”

Ujarnya, hal tersebut adalah susulan pengumuman daripada menteri KBS, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dengan majlis pelancaran inisiatif MyVAC telah dilancarkan oleh YB Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi selaku Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.