Ahmad Zahid Terima Suntikan Pertama Vaksin COVID-19 Hari Ini

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 di Klinik Kesihatan Titiwangsa di sini.

Dalam kenyataan ringkas sebaik selesai mendapatkan imunisasi tersebut, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menyeru masyarakat supaya yakin dengan usaha kerajaan di dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Di samping itu, Ahmad Zahid juga berharap rakyat negara ini mendaftar diri untuk mendapatkan vaksin melalui aplikasi Mysejahtera atau platform yang disediakan oleh kerajaan.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk hadir lebih kurang jam 11 pagi tadi dan disambut mesra oleh kakitangan klinik kesihatan tersebut.

Sehingga semalam, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bermula sejak 23 Feb lepas, seramai 301,699  telah menerima suntikan dos pertama vaksin di seluruh negara sebagaimana kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.