UMNO Wilayah Persekutuan Beri Komitmen Terbaik Demi Parti Berdepan PRU15 – Johari

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Semangat dan komitmen yang tinggi oleh jentera-jentera UMNO Wilayah Persekutuan akan memberi impak yang baik khususnya pada Pilihan Raya Umum (PRU) 15.

Menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, program Bangkit 15 sangat bermakna bagi UMNO Wilayah Persekutuan dalam menggerakkan jentera untuk lebih bersedia apabila tibanya pilihan raya.

“Saya nampak komitmen daripada jentera-jentera ini sungguh baik dan saya harap dengan komitmen dan latihan yang telah diberikan maka mereka akan pulang ke kawasan masing-masing untuk mengaplikasikannya berdasarkan pengalaman yang telah dilaksana dan dimantapkan dari semasa ke semasa. 

“Saya cukup yakin kalau kita berterusan mengadakan kursus ini di peringkat ‘grass root’ (akar umbi), maka apabila tiba pilihan raya nanti ia akan lebih memudahkan kita untuk mencari pengundi-pengundi dan berkhidmat kepada masyarakat seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada UMNO Online selepas program Bangkit 15 Wilayah Persekutuan yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi BPUN, Datuk Zainal Abidin Mohd Rafique; Setiausaha UMNO Negeri, Datuk Ramlan Askolani serta Ketua-ketua UMNO seluruh Wilayah Persekutuan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa menjelaskan bahawa dengan persediaan yang dijalankan ini sangat bermakna kerana ia melibatkan anggota kepimpinan bahagian yang juga jentera-jentera UMNO.

“Program Bangkit 15 Wilayah Persekutuan ini sangat bermakna dan saya ucapkan terima kasih kepada Pengerusi Biro Latihan Dan Pekaderan UMNO Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana mengambil inisiatif mengadakan program Bangkit 15.

“UMNO Wilayah Persekutuan terlibat secara ‘total’ dengan jentera-jentera yang ada ini untuk ‘train and trainers’.” – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.