Kerajaan Wajar Kaji Kompaun RM10,000 Langgar SOP PKP – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan wajar mengkaji semula kompaun sehingga RM10,000 yang boleh dikenakan ke atas rakyat yang didapati melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini kerana katanya, nilai kompaun dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM10,000 di bawah Ordinan Darurat banyak menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat.

“Pertama sebilangan rakyat masih keliru tentang SOP yang ditetapkan kerajaan dan kini mereka berisiko dikompaun sehingga RM10,000 jika tersalah faham berhubung SOP tersebut.

“J-KOM dengan peruntukkan lebih RM40 juta sewajarnya berusaha memahamkan rakyat tentang SOP ini terlebih dahulu. Inilah peranan yang sepatutnya oleh J-KOM, bukan sebaliknya,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu terbabit.

Kedua katanya, beliau percaya setiap rakyat Malaysia berusaha untuk mematuhi SOP sepanjang masa kerana mereka juga bimbang dijangkiti wabak COVID-19.

“Namun fitrah manusia tidak lari daripada melakukan kecuaian. Justeru, kompaun bertujuan untuk mendidik dan memperingati mereka, bukan untuk menekan hidup mereka.

“Ketiga RM10,000 bukan jumlah yang kecil bagi golongan berpendapatan rendah. Jika gagal dilunaskan dalam tempoh tertentu mereka akan berdepan pendakwaan.

“Mungkin RM10,000 dapat memastikan golongan kaya raya sedikit sebanyak turut terkesan dengan nilai kompaun.”

Bagaimanapun, ujar Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), ‘jangan pukul rata’ sehinggakan golongan berpendapatan rendah dan miskin terjebak sama.

“Benar kompaun RM10,000 ditulis atas notis saman belum muktamad kerana boleh membuat rayuan berdasarkan budi bicara pegawai diberi kuasa.

“Persoalannya bagaimana cara untuk mengukur budi bicara? Kompaun dikurangkan kepada RM8,999 juga boleh dianggap sebagai budi bicara.

“Sewajarnya ada ‘guidelines’ yang jelas dalam urusan budi bicara atau mungkin kompaun sehingga RM10,000 boleh ditetapkan berdasarkan klasifikasi pendapatan.”

Jelasnya, golongan T20 mungkin wajar dikenakan kompaun maksimum RM10,000, manakala M40 dan B40 berdasarkan pendapatan mereka atau kesalahan berulang seperti yang pernah disyorkan.

“Ini selari dengan kepayahan rakyat menjalani kehidupan dalam keadaan ekonomi yang lembap dan kos sara hidup semakin meningkat.”

Walau apapun, beliau tetap menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya berusaha sedaya upaya mematuhi SOP pada setiap masa dan di mana jua.

“Bukan kerana semata-mata takut dikenakan tindakan keras dibawah Ordinan Darurat, tetapi kerana cakna terhadap keselamatan diri dan keluarga,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.