Keputusan BN Tepat, PN Sekarang Didukung Individu Pelbagai Masalah – Khaled

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menganggap sangat tepat untuk Barisan Nasional (BN) menjauhkan diri dari Perikatan Nasional (PN) kerana PN sekarang menjadi perikatan dengan dukungan pelbagai individu bermasalah.

Katanya, BN ingin menyelamatkan Malaysia dan rakyatnya, bukan PN dan sekutunya yang telah menjadi masalah kepada Malaysia.

“PN ditubuhkan tanpa ideologi dan kejelasan perjuangan dan sehingga waktu ini Malaysia tidak menjadi lebih baik dari sewaktu diperintah oleh PH. Semua ini adalah ramuan untuk kegagalan yang pasti.

“Berapa lama pun PN berusaha untuk memanjangkan hayatnya, mereka akhirnya akan kembali kepada rakyat juga untuk menentukan masa depan.

“Mungkin PN lupa bahawa Malaysia dan rakyatnya telah jauh berubah. Pengundi Malaysia telah menjadi sangat ‘sosphiticated’,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu terbabit.

Jelasnya, penilaian rakyat pastinya adalah pada wibawa dan harga diri pemimpin yang akan mewakili mereka.

“Mereka lupa bahawa BN suatu dulu sangat lebih kukuh dan berkuasa dari keadaan PN sekarang, tetapi boleh ditewaskan juga.

“Sebabnya tidak perlu saya huraikan. Semua orang tahu betapa berupayanya BN memerintah. Tetapi apabila rakyat membuat keputusan, mereka mempunyai pelbagai dimensi dan pertimbangan.

“PN sekarang menjadi perikatan dengan dukungan pelbagai individu bermasalah. Percayalah, mereka ini hanya ingin menyelamatkan diri mereka dan bukan PN. PN akan terbeban dengan masalah semua individu ini akhirnya.”

Katanya, PN menerima sokongan tiga ahli Parlimen PKR baru-baru ini sebagai strategi mereka untuk mengukuhkan PN.

“Namun yakinlah, semua itu akhirnya hanyalah strategi untuk menunda kejatuhan PN, bukan memperkasakan PN.

“Tiada pergerakan politik yang dibina dengan pendekatan tidak bermoral sebegini akan mampu bertahan.

“Semua pergerakan politik hanya akan kukuh dan berkelangsungan dengan kerja keras dan keyakinan pada nilai yang diperjuangkan,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.