UMNO Parti Penyatuan Bangsa, Kita Mesti Menang PRU-15 Untuk Bela Rakyat – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menekankan bahawa UMNO adalah parti penyatuan orang Melayu dan penubuhannya juga adalah berteraskan kepada penyatuan serta gabungan persatuan-persatuan Melayu seluruh Malaya yang melibatkan 41 buah pesatuan. 

Sehubungan itu katanya, UMNO perlu terus menjadi juara dalam menyatukan bangsa dan mengembalikan perpaduan agar dapat kembali menguasai pentadbiran dalam kerajaan bagi meneruskan pembelaan. 

“Sejarah telah membuktikan bahawa UMNO adalah satu parti yang menyatupadukan orang Melayu melalui gabungan persatuan-persatuan yang akhirnya kuat sehingga berjaya mempelopori kemerdekaan negara.”

Jelasnya yang juga Menteri Kanan Pertahanan, dari asal lagi UMNO adalah champion (juara) atau pelopor penyatuan Melayu maka sebab itulah juga sokongan diwujudkan untuk bersama-sama bagi membentuk kerajaan hari ini dan membela rakyat.

“Kerana kita ‘champion’ dalam penyatuan maka kita juga perlu teruskan perjuangan dengan menentukan masa hadapan kita. Ini bermakna kita perlu mainkan strategi yang betul untuk menentukan masa depan negara kita.

“Sebelum kita masuk bertanding nanti seharusnya setiap kawasan yang kita tandingi telah kita buat ‘envirocal study’ (kajian persekitaran) dari keberangkalian menang atau kalah. Kita tidak boleh bergerak atas dasar emosi… kita kena kaji. Kita kena buat ‘study’ yang jelas.

“Calculation’ (pengiraan) yang jelas mesti dibuat dan ini bukan disebabkan ‘individual but this about future’ Melayu, ini yang penting. Envirocal study( kajian persekitaran) perlu dibuat statistik dan saintifik data perlu ada. Iaitu kalau berlaku tiga penjuru… apa yang akan berlaku… apa yang berlaku dua penjuru… apa yang akan berlaku kalau itu atau ini?

“Adakah kita nak menang memerintah semula atau kerana emosi kita maka kita tak peduli. Kita mesti menang baru bermaruah… itulah yang perlu kita pastikan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Bangkit 15 Negeri Wilayah Persekutuan yang turut dihadiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Latihan Dan Pekaderan UMNO Malaysia berkata perlu dilihat secara terperinci, apakah keputusan yang dibuat akan menguntungkan ataupun merugikan.

“Memang betul 22 bulan kita terbangsat dalam negara kita… sebab kita tidak ada kuasa pada waktu itu… apabila kita berpengalaman ‘terbangsat’ pada waktu itu akhirnya Melayu kembali bersatu. Kalau PH (Pakatan Harapan) memerintah sekali lagi berakhirlah orang Melayu di negara sendiri.

“Kita kuat apabila Melayu berpadu dan akhirnya apabila kita melihat keganasan yang dilakukan oleh Dap ketika itu terutamanya Lim Guan Eng… ’difaraidnya’ harta-harta yang ada dan dijual sedikit demi sedikit… akhirnya kerajaaan PH tumbang,” ujarnya.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Pengerusi BPUN, Datuk Zainal Abidin Mohd Rafique; Setiausaha UMNO Negeri, Datuk Ramlan Askolani; Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Datuk Seri Rizuan Abdul Hamid; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii serta Ketua-ketua UMNO Bahagian seluruh Wilayah Persekutuan.– UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.