Persediaan Akar Umbi Penting Pastikan UMNO/BN Tawan PRU15 – Ismail Sabri

ALOR SETAR, 13 Mac – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menekankan keperluan utama kepada UMNO sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang bakal berlangsung kelak.

Katanya, elemen yang menjadi keutamaan adalah persediaan jentera di peringkat bahagian sehingga ke akar umbi.

“Kalau PRU-15 bulan Mac, bulan Januari bilik gerakan kena sudah bersiap sedia. Bukan hanya di peringkat negeri tetapi juga di peringkat bahagian.

“Malah bilik gerakan di peringkat cawangan ataupun di pusat daerah mengundi. Kalau kita hendak perang kita kena tahu kekuatan dan kelemahan musuh kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Bangkit 15 Negeri Perlis dan Kedah yang turut dihadiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Latihan Dan Pekaderan UMNO Malaysia berkata tanggapan segelintir pihak yang berkata mempunyai nilai semangat yang tinggi cukup penting untuk berhadapan pilihan raya adalah tidak benar kerana katanya itu sahaja tidak mencukupi.

“Kita perlu bersedia dari semua aspek kerana kita akan menentang musuh yang memiliki pelbagai kemampuan namun kita utamakan jentera. Takkan jentera kita tidak diberikan apa-apa bantuan untuk bekerja sewaktu di pilihan raya?” ujarnya.

Tambah Ismail, penguasaan media sosial juga antara aspek penting untuk memperkuatkan parti.

Katanya, ini kerana UMNO memerlukan perantara untuk menyampaikan mesej-mesej kepada rakyat dalam usaha menarik sokongan mereka.

“Mesej yang kita sampaikan, naratif yang kita beri kepada akar umbi supaya menyokong kita.

“Perlu jelas hingga ke akar umbi dan adakah sekarang ini kita bersedia memenangi peperangan di media sosial dengan parti-parti lain atau tidak,” katanya.

Elemen terakhir menurutnya adalah persediaan memberikan tawaran-tawaran yang mampu meyakinkan rakyat berbanding parti-parti lain.

“Kita perlu mempunyai manifesto yang boleh diterima. Kalau kita masuk sebagai pembangkang pada pilihan raya nanti, manifesto kita perlu lebih baik daripada kerajaan.

“Ini yang terjadi dahulu, Pakatan Harapan punya manifesto lebih baik daripada kita.

“Akhirnya mereka menipu sehingga rakyat sudah tidak percaya lagi kepada manifesto yang dibentang oleh pembangkang kerana apabila memerintah mereka gagal untuk melaksanakannya,” katanya. – UMNO Online

 

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.