Nasihat Wazi Ada Benarnya, Keselamatan Dan Peraturan Perlu Dipatuhi Demi Manfaat Semua, Kata Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Tanggapan ubahsuai ‘ekzos perang’ mampu tambah kuasa pecutan motosikal hanya mitos sebagaimana kata bekas jaguh Cub Prix Malaysia Wazi Abdul Hamid.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan jaguh jentera Suzuki RG dengan nombor 21 itu ada kredibiliti untuk diyakini dalam isu ini.

“Jika saya yang beri pandangan mungkin sedikit kurang berkesan waima ‘skill’ belakang sedikit berbanding Valentino Rossi,” selorohnya dalam satu hantaran di Facebook pagi ini.

Justeru Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berharap agar anak-anak, adik-adik dan abang-abang peminat motosikal sekalian, silalah ambil kira nasihat Wazi.

“Maksudnya tidak perlu membazir wang ringgit mengubahsuai ekzos yang menyalahi undang-undang.

“Sebagai seorang peminat motosikal saya faham jika boleh kita mahukan maksimum. Tetapi keselamatan dan peraturan perlu sentiasa dipatuhi demi manfaat diri dan orang lain.

“Lagipun tidak berbaloi berbelanja besar cuma untuk mendapat sedikit kuasa pecutan,” katanya lagi.

Bagaimanapun ulas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, Wazi turut berpandangan pihak berkuasa wajar menggunakan budi bicara dalam menangani isu ini bagi motosikal yang disita dan pemiliknya diminta memasang ekzos standard atau yang asal, ia perlu menggunakan budi bicara.

“Ia sebagai proses mendidik kerana mungkin ada di antaranya yang mencari rezeki menggunakan motosikal.”

Jelas Ahmad Zahid lagi, perkara ini juga beliau pernah tekan dan bangkitkan sebelum ini di dalam postingnya yang terdahulu. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.