Apa Tujuan Mereka? Kalimah Allah Wajib Dipertahankan – Noor Hariri

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kelantan melahirkan rasa kesal di atas keputusan Hakim Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama Kristian.

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, ini tamparan hebat kepada umat Islam di Malaysia yang menyambut Israk Mikraj dalam bulan rejab yang mulia ini.

“Kami berasa pelik dan ingin mempersoalkan apakah tujuan pihak paderi di Semenanjung yang bertegas mahu menggunakan kalimah Allah bagi merujuk tuhan mereka, walaupun sejak kira-kira 500 tahun dahulu roman katolik memasuki Melaka, tidak pernah pun menggunakannya.

“Oleh itu kami menggesa Menteri Undang-undang agar membuat rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tempoh hari bagi menunjukkan betapa seriusnya kerajaan pada hari ini menjaga hak kaum terbesar yang menganut agama Islam bagi mengelakkan tercetus sebarang ketidakharmonian antara agama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Seterusnya jelas Noor Hariri lagi, umat Islam perlu sedar dan bangkit tentang perihal bahaya apabila kalimah suci ini dibenarkan untuk digunakan penganut Kristian berdasarkan beberapa perkara ini.

“Ini adalah agenda sulit untuk mengaburi mata orang Islam dengan mengatakan kalau kamu datang di gereja kami pun kamu masih beriman dengan Allah. Membuka peluang untuk gerakan mensyirikkan Allah oleh pihak-pihak berkepentingan dan tidak bertanggungjawab.

“Alasan mereka menggunakan nama Allah sekadar dalam buku rujukan menggambarkan menggambarkan seolah-olah kalimah Allah ini hanya ayat biasa yang tidak perlu dihormati.

“Akan menjadi kebiasaan kalimah ini disalahgunakan penganut agama lain untuk kepentingan perniagaan seperti restoran dan kedai makan,” tegasnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.