Usah Berdalih Laksanakan Undi 18 – Pemuda BN

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM merangkap Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim yang mendakwa terdapat pelbagai kekangan untuk melaksanakan undi 18 tahun, walaupun selepas Dewan Rakyat sudah meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 adalah suatu yang amat mengecewakan.

Menurut Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ini pastinya bertentangan dengan kenyataan Menteri Undang-undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 3 November tahun lalu yang menjelaskan di Parlimen bahawa pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih secara automatik dapat dilaksanakan selewat-lewatnya Julai tahun ini.

“Pemuda Barisan Nasional merasakan semacam wujud usaha untuk menggagalkan undi 18 automotik ini yang hakikatnya telah diluluskan setelah dipinda Perlembagaan dengan undian sebulat suara di Parlimen.

“Justeru tidak wajar untuk Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM yang juga Yang DiPertua Dewan Negara mengeluarkan kenyataan yang boleh dinggap satu dalih bahkan cubaan meremehkan anak muda berumur 18 tahun ke atas untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi,” tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Pemuda BN mendesak agar kerajaan segera menyatakan pendirian dan menjelaskan status perlaksanaan Undi 18 Tahun ini, agar rakyat terutamanya generasi muda tidak merasa terhina atau dikhinati dengan kenyataan bercanggah daripada pemimpin parti pemerintah,’ tegas Dr Asyraf lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.