Perluaskan Rebat Bil Elektrik, Ringankan Beban Rakyat – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 11 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap kerajaan dapat membantu rakyat ekoran peningkatan bil elektrik yang dihadapi mereka.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya mengkaji semula Program Rebat Bil Elektrik RM40 bagi meringankan beban rakyat yang berhadapan situasi ini.

“Kita tahu elektrik digunakan seluruh rakyat Malaysia. Maka rebat perlu diperluaskan kepada semua.

“Rebat RM40 juga harus dinaikkan sedikit, mungkin RM100, memandangkan ada isi rumah memiliki tunggakan sehingga ribuan ringgit,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah Ahmad Zahid, bantuan seperti ini sepatutnya dilakukan bagi membantu golongan yang terjejas terutama sekali kepada mereka yang hilang punca pendapatan.

Beliau menerusi status yang sama turut berkongsi cerita berkenaan pertemuannya dengan kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan bertanya berkenaan isu peningkatan bil elektrik.

“Saya diberitahu sepanjang PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksanakan, kebanyakan rakyat di negara ini berada di rumah dan menggunakan pelbagai alatan elektrik.

“Kerana penggunaan yang banyak, bilnya juga meningkat. Perkara ini saya faham. Tetapi PKP dilaksanakan oleh kerajaan,” tegasnya.

Baru-baru ini media melaporkan, mesin penapis air yang mempunyai fungsi pemanas dan penyejuk dikenal pasti menjadi antara punca peningkatan bil elektrik terutama ketika cuaca panas yang sedang melanda negara.

Ketua Retail Selangor, Ismail Lathifi Teh berkata, peralatan elektrik yang mempunyai fungsi sedemikian seperti peti sejuk dan alat penyaman udara dan kini penapis air minuman menggunakan tenaga elektrik yang banyak untuk mengekalkan suhu berkenaan terutamanya ketika cuaca panas. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.