Perkukuhkan Diri, Tunjukkan Prestasi Terbaik BN Kepada Rakyat – Fadzli

KUALA LUMPUR, 11 Mac –  Barisan Nasional (BN) terbukti selama ini mempunyai ‘track record’ memerintah negara dan pengurusan serta pelaksanaan yang meluas dalam pelbagai bidang serta aspek yang akhirnya memberi manfaat yang cukup besar kepada negara dan rakyat.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata atas hakikat berkenaan, sebaiknya kekuatan BN itu diperkukuhkan dalam mendepani cabaran serta siangan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU-15 akan datang.

“Malam tadi Pemuda BN Pahang bersidang bagi membincangkan hala tuju dan gerak kerja parti menjelang PRU-15. Ada benarnya, elok kita perkukuh kekuatan kita sendiri terlebih dahulu sebelum kepimpinan di atas memutuskan siapa rakan kongsi tulen kita pada PRU nanti.

“Apa jua keputusan kepimpinan di atas, jika ianya baik untuk masa depan parti, maka sudah pastilah kita di akar umbi ini akan patuh.

“Hakikatnya, BN terbukti mempunyai ‘track record’ yang cukup baik selama memerintah negara ini sejak merdeka termasuk dalam soal membangunkan negara, memelihara keharmonian kaum, serta meningkatkan taraf sosio-ekonomi dalam masyarakat,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Kata beliau lagi yang juga Ketua Pemuda UMNO Raub, Pakatan Harapan (PH) yang berjaya mencipta kemenangan pada PRU-14 hasil “janji manis”, ternyata gagal bertahan dan akhirnya ditolak rakyat selepas hanya 22 bulan memerintah.

“PH gagal memahami keperluan rakyat.  Kali ini BN kembali berpeluang membuktikan kemampuan kita kepada rakyat. Maka perbaikilah kelemahan kita, perkukuhlah barisan kita dan tunjukkanlah prestasi terbaik kita kepada rakyat,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.