Muafakat Nasional Terus Diperkukuh, Pandang Serius Penggunaan Kalimah Islam Oleh Bukan Islam

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Muafakat Nasional yang mengadakan mesyuarat bulanannya pada malam ini mengambil pendirian untuk terus memperkukuhkan ikatan berkenaan selain memandang serius penggunaan kalimah Islam oleh bukan Islam.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sejurus selesai mesyuarat tersebut malam ini, Muafakat Nasional juga menggesa agar kerajaan merayu untuk membawa penghakiman berkaitan kalimah Islam ke Mahkamah Rayuan.

“Muafakat Nasional malam ini telah mengadakan mesyuarat bulanan seperti biasa mengikut jadual. Mesyuarat bersetuju untuk terus memperkukuh Muafakat Nasional. Mufakat Nasional juga mahu menyatakan keprihatinan yang amat serius ke atas keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah-kalimah Islam oleh orang-orang bukan Islam dalam penerbitan masing-masing. Mesyuarat juga menggesa kerajaan merayu untuk membawa penghakiman ini ke Mahkamah Rayuan,” katanya.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa Muafakat Nasional menggesa agar pihak kerajaan untuk mengambil inisiatif menyegerakan pelaksanaan pengharmonian sistem perundangan negara dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Mesyuarat berkenaan dihadiri pimpinan kedua-dua parti berkenaan. UMNO diketuai Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan manakala PAS pula diketuai Timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan pimpinan yang lain kedua-dua parti terbabit.– UMNO Online